Jumaat, 29 Oktober 2010

Seindah Kalungan Mutiara Ukhwah

cerita ini dikarang sendiri tika tangan ini rindu untuk memegang pen~




“Maafkan saya Anis. Saya tak mampu untuk teruskannya.” Walaupun hati terasa berat untuk meluahkannya,akhirnya Aina mengambil keputusan untuk mengundur diri dari jalan dakwah- organisasi yang telah dia libatkan diri sejak setahun yang lepas. Mengalir butir-butir mutiara air mata Anis,di saat mendengar kata-kata Aina. Aina yang dari tadi hanya teresak-esak seolah-olah membuatkan atma Anis menerima akan kata-kata Aina tadi.
Sejak empat bulan lalu Aina memendam rasa. Rasa yang dia seperti diasingkan dan disisihkan daripada organisasi. Mungkin Aina tidaklah disisihkan,cuma nalurinya yang terasa sedemikian. Sejak itu, atma Aina hanya mampu memberontak. Banyak kekhilafan yang dia lakukan dan makin bertambahlah rasa berprasangka buruk itu. Segalanya berpunca daripada ukhuwah. Memang betul kata rakan-rakan serta guru-guru bahawa ukhuwah itu amat diperlukan dalam satu organisasi. Tanpa ukhuwah, musuh mampu ketawa besar melihat organisasi yang sepatutnya kukuh menjadi semakin tenggelam hanya kerana ukhuwah.
“ Saya memang tidak mampu untuk terus bertahan. Saya berharap sangat agar awak faham dan sampaikan salam saya buat rakan-rakan yang lain.” Jauh di sudut hati Aina sememangnya ada terbit sedikit rasa lega di hati. Memang sejak empat bulan lalu dia memendam rasa. Setelah sekian lama dia memujuk hatinya dan akhirnya dia tewas dan mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada organisasi itu.
********************* **************************************
Aina seorang gadis yang lemah lembut, berpewatakan sopan berkaliber ciri kepemimpinannya dan ketegasan serta kepercayaannya yang amat dihormati oleh orang lain. Selaku ketua pelajar di sekolahnya Aina amat menjaga adabnya dalam mengajak rakan-rakan yang lain ke arah kebaikan atau dalam erti kata lain kepimpinan melalui teladan. Bagi pandangan insane lain, Aina merupakan seorang pelajar yang cukup lengkap keperibadian sebagai seorang muslimah namun,setiap manusia juga pasti ada kelemahan dan tiada seorang pun yang dilahirkan cukup sempurna. Sesempurna Aina pun, ada kelemahannya yang belum lagi ditonjolkan.
Bukan sahaja pelajar biasa yang meminati Aina tapi ada juga pelajar-pelajar lelaki yang memegang tampuk kepimpinan sekolah yang meminatinya cuma tidak disuarakan, bimbang ditegur dan yang paling mereka takuti,takut cinta mereka ditolak.Tambahan pula Aina banyak kali mengingatkan pelajar-pelajar supaya menjauhi zina hati,zina yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasa tatkala dia memberi tazkirah.
Hatta Nabi Yusuf juga diuji kerana ketampanannya, inikan pula Aina seorang pelajar dan manusia biasa yang umurnya baru setahun jagung. Keimanan Aina tergugat dan diuji dengan kehadiran seorang pelajar baru di sekolahnya. Kamal namanya ketika dia memperkenalkan diri di dalam kelas Matematik itu.
Syaitan pun mula mengorak langkah. Dengan kehendak-Nya,Kamal duduk di hadapan Aina di dalam kelas. Kamal seorang pelajar yang bukan sahaja bijak malah tidak segan silu untuk berkongsi ilmunya dengan orang lain, terutamanya Aina. Pada mulanya, hanya berlandaskan niat Kamal untuk berkongsi ilmu dengan Aina. Tetapi, tuhan itu Maha Mengetahui segalanya. Akhirnya syaitan menyuntik rasa-rasa cinta di hati Kamal. Betul kata orang, dari mata turun ke hati. Akhirnya, Kamal dengan penuh rasa berani mengambil sebatang pen dan mula menulis sedikit kata buat Aina.

Isi suratnya itu,,
Assalamualaikum. Pertamanya ana ingin mengucapkan terima kasih kerana saudari sudi berkongsi ilmu dengan ana tatkala sepanjang ana baru belajar di sini. Ana juga berasa amat bebesar hati untuk mengajar saudari mana-mana subjek yang saudari kurang faham. Sesungguhnya, ana amat menghargai.
Ukhuwahfillah,
Kamal Haiqal

Tersenyum Aina ketika surat itu dibacanya. Baginya, alangkah bertuah sesiapa yang dapat menawan hati Kamal. Kesopanan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Kamal sebentar tadi, betul-betul memikat hati suci si gadis ini.Begitulah nasib insan tanpa Ilmu. Pantang ditiup angin,pasti dia rebah. Maka, bermulalah konflik dan kisah cinta Aina, pemimpin yang amat disegani di sekolah tatkala warkah pertama daripada Kamal itu terus dia balas.
Kepemimpinan seseorang itu bukanlah kerja manusia. Pengaruh setiap insan itu tidaklah kekal selamanya dan iman seorang manusia itu pasti ada turun naiknya. Akhirnya Aina lalai dalam cintanya. Dia mula lupa akan prinsipnya yang dipegang dulu. Kerja dakwah makin tidak aktif dilakukan. Prestasi pelajarannya juga kian merosot. Tiada lagi nasihat daripada Aina buat rakan-rakan dan adik-adik junior. Panahan berbisa syaitan benar-benar menepati sasarannya. Namun, Aina masih bernasib baik kerana kisah ‘cintanya’ itu masih belum diketahui umum. Inilah kelemahan Aina, gadis suci yang berpewatakan muslimah sejati. Dia mudah lemah dengan insan yang bernama lelaki.
Sehinggalah pada suatu hari, dengan takdir tuhan Aina seolah-olah dikejutkan daripada angan dan mimpinya dalam dunia barunya itu. Tuhan itu merancang yang terbaik buat hambanya. Akhirnya, Aina sedar akan kesilapannya itu. Dia berusaha untuk keluar dari gelombang itu. Aina seperti layang-layang yang terputus tali. Dia tidak tahu kepada siapakah yang harus dia kongsikan kesilapannya itu agar sama-sama dapat menariknya kembali ke jalan sebenar dan kembali kepada prinsip hidupnya dahulu.
Aina akhirnya mengambil keputusan untuk memendam sahaja masalah yang sedang dia hadapi. Masalah hati. Baginya, dia amat takut untuk berkongsi masalah itu dengan rakan-rakan pemimpinnya yang lain. Dia rasa seolah-olah dia telah melakukan satu kesilapan yang amat besar dan jika terbongkar, pasti akan sirna kewibawaannya dalam organisasi pimpinan itu.
Semakin hari semakin jauh Aina daripada rakan-rakan pemimpin yang lain. Aina merasai seolah-olah dia diasingkan kerana kesilapannya yang lalu dan dia tidak mampu setaraf dengan rakan-rakan yang lain. Ukhuwah yang kian goyah dan kepercayaan yang kian merudum jatuh ke bumi. Hanya itu yang mampu Aina rasakan tika itu. Akhirnya Aina memilih jalan mudah iaitu untuk keluar daripada organisasi pemimpin yang melakukan gerak kerja dakwah itu.
*****************************************************************
Kini, telah masuk dua bulan Aina keluar daripada organisasi. Kadang-kadang ada juga terbit rasa menyesal dalam dirinya. Saat Aina menyatakan hasratnya untuk menarik diri dari jalan dakwah itu kepada Anis selaku ketua, bermacam-macam persoalan yang ditujukan buat Aina daripada rakan-rakan yang lain. Ada yang memujuk dan ada juga yang kelihatan seperti merelakannya.
Namun, Aina seperti silap mencorak langkah. Keluar daripada organisasi bukanlah penyelesaian segalanya. Dengan takdir-Nya Aina Berjaya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang baru sahaja diumumkan tiga minggu lepas. Alhamdulillah, Aina akhirnya ditawarkan ke sebuah Sekolah Berasrama Penuh di Kuala Lumpur.
Tiba-tiba terngiang di benak fikirannya akan kata-kata naqibahnya tahun lepas. “Kalau kita berniat betul-betul yang kita memang nak berubah menjadi lebih baik, kita seharusnya turut berhijrah tempat kerana ada kemungkina persekitaran kita yang dulu itulah yang menghalang untuk kita berubah. Sedangkan Nabi Muhammad dan umat Islam yang lain pun berhijrah kenapa kita tidak?” Aina memujuk hati dan perasaan untuk menerima tawaran itu.
Aina ingin keluar daripada belenggu yang sedang dia hadapi sekarang. Dia ingin berubah menjadi lebih baik. Tetapi dia amat sayangkan rakan-rakannya. Puas Anis dan rakan –rakan yang lain memujuk Aina agar terus berkhidmat sebagai pimpinan ketua pelajar di sekolah
***************************************************************
Saat hari terakhir Aina di sekolah hanya titisan kesedihan yang mampu dititiskan. Tiada titisan air mata kegembiraan. Terlalu banyak kenangan di sekolah itu. Aina hanya mampu menghadiahkan satu pelukan buat Anis. Sahabat yang banyak mengajarnya erti ukhuwah yang sebenar dalam Islam.
Ketika erat dalam dakapan, “ Anis, maafkan saya ye. Saya bukan nak lari dari tanggungjawab. Saya cuma tak nak bebankan pimpinan dengan masalah saya. Saya janji dengan awak, sampai bila-bila pun kita tetap kawan tau. Saya sayang awak dan rakan-rakan pemimpin yang lain. Awak juga yang cakap dengan saya kalau ukhuwah yang dibina itu kerana Allah, kita berpisah dan bertemu mesti kerana Allah. Hati kita pun dieratkan walau jauh mana saya dan awak dicampakkan. Saya nak awak tahu yang saya sangat sayangkan awak dan rakan-rakan pemimpin. Saya sayang awak Anis.” Teresak-esak Aina menuturkannya. Baru saat itu dia dapat mengecapi kemanisan ukhuwah.
Dipandu laju kereta Proton itu meninggalkan kawasan sekolah. Aina melambai-lambai rakan-rakannya yang lain dalam masa yang sama melambai-lambai semua kenangannya di sekolah itu. “Suatu hari pasti langkahku akan kujejak di sini!” Aina bermonolog di dalam hati. Pada masa yang sama di tangan kanannya yang halus itu tergenggan erat surat terakhir daripada Kamal. Tangannya hampir mengambil pen dan kertas untuk membalas surat itu. Namun, cepat-cepat ditepisnya kerana bimbang syaitan akan melemparkan panahan baru di hatinya yang pernah rapuh suatu masa dahulu. Bagi Aina, biarlah surat dan setiap bait-bait kata Kamal itu tergantung dan disambung di akhirat nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan